About Me

My photo
Brunei
Hidup adalah Tanggungjawab. Bukan untuk dunia, tapi untuk DIA

Pages

Sunday 23 March 2014

Hadiyatul Haramain





Angin dingin di salah satu Haramain…
Menjirus sayu di jiwa yang dahaga kasihMu sehingga aku menagihnya hingga ke sini…
Ombak di dada tidak mampu ku duga. Deras juga gelombangnya turun naik silih berganti.

Dahulu, bersimpuh duduk, melontar angan, menyingkap sirah, mendengar kisah, hanya itu yang aku tahu dan aku mampu.
Soalan itu muncul kembali
Benarkah aku di sini?
Seluruh jasadku berpijak pada dataran Masjid Nabawi?
Masjid Nabawi ya Allah….
Apa benarkah aku di sini?

Di bawah Kubah Hijau itu, sekujur tubuh suci sedang bersemadi.
Bersama empat teman sejati
Bukti kasih mereka jelas hingga ke mati.

Malam indah dan hening, suara si kecil cengkerik beralun merdu di luar maqammu.
Luar biasa, mungkinkah ini salah satu suara dari syurga?
Ya Allah…. izinkan mutiara jernih ini tumpah berkali-kali.
Semuanya indah di Taman Raudhah ini.

Taman Raudhah, Maha Besar Engkau ya Allah, menempatkan salah satu taman syurga di tanah Masjid Nabawi

Saat dahiku yang penuh dosa ini bersujud padaMu di dalam Taman RaudhahMu, sungguh…. aku lemah, hampir saja terkulai jasadku.
Aku banyak dosa, tapi tetap saja dengan sifat RahmanMu, peluang hebat ini KAU beri juga padaku.

Saat mengakhiri lambaian Wida'ku, ku perhati pintu gerbang Maqammu duhai Muhammad kekasih Allah….
Sebak jiwaku, sungguh tenang wajah maqammu Ya Rasulullah….
Sudah banyak Perjuanganmu, titisan darahmu mengalir demi kami umatmu.
Pasti engkau lelah kan ya Rasulullah….?
Pasti engkau penat kan….?
Berehatlah, berehatlah, berehatlah dulu duhai kekasih Allah.
Walau aku tahu, kau tetap saja tidak mampu berhenti memikirkan nasib umatmu.

Ya Rasulullah…. izinkan aku mendapat tempat di hatimu.
Aku umatmu, aku umatmu, aku umatmu.




***


Di sini pula letaknya salah satu Haramain yang Utama.
Banyak pantang larang wajib dijaga, sesuai sungguh dengan pangkat kesuciannya.

Tiba-tiba Qalbuku mula terasa tenat.
Bukan kerna pantang larang yang diperintah, tapi kerna aku sedar, Jalan untuk menuju syurgaMu bukanlah mudah ya Allah.
Sungguh, bukan mudah.

Satu rasa sewaktu di Taman Raudhah kini aku rasa pula di MasjidilHaram ketika seluruh jasadku menghadap Ka'abah.

Inilah… inilah dia Qiblatku, Qiblat semua sahabat seagamaku!
Bukan sekadar satu rekabentuk senibina yang indah bertabir Aswad..
Tapi di sinilah lambang penyatuan seluruh umat.

Allah cipta pelbagai rupa dan bangsa, pelbagai suku dan negara.
Untuk apa?
Untuk saling mengenal dan berbaik bahasa.

Sungguh kerdil aku rasa. Tujuh pusingan Tawaf masih tidak cukup rasanya untuk mengubat rindu, untuk mengharap cintaMu.
Sekali lagi Wida' harus aku harungi.

Al-Wida',
Hukum Alam, Awal Pertemuan pasti bertemu Akhir Perpisahan.
Hati rasa berat, jiwa hampir tenat.
Tapi hambaMu terpaksa melangkah pergi.
Pergi untuk memperbaiki diri sebelum Engkau beri rezeki untuk bertemu lagi.

Jemput kami lagi Ya Allah
Seru kami lagi Ya Rahman
Kasihi kami Ya Rahiim


Bumi Haramain, Hadiah Terindah.
Jalan Allah sentiasa lurus aturannya, sentiasa indah hikmahnya, sentiasa luas kasihnya.



-Hadiyatul Haramain-


Monday 10 March 2014

Saya Tunggu Awak!

Bismillah………



Saya Tunggu Awak


Tajuk selamba yang amat, siapa sangka di dalamnya terbuku kisah yang hebat? 
STA, satu novel tarbiah yang cukup sarat dengan ilmu dan "sindiran nasihat" ,
bukan sekadar melepaskan batuk di tangga atau "tulislah apa saja, janji ada cerita",
bukan, STA bukan begitu. 

Aku tahu aku bukan peminat novel sejati tapi apabila membaca naskhah ini, masya Allah, setiap babak sungguh bermanfaat, watak2nya seperti "wujud" dan memberi kesan yang kuat. Hatta sekarang, setiap teguran dan nasihat dari "Ustazah Hanna" yang berpegang teguh pada Quran&Hadith masih melekat! 

Cerita ini hebat kerana penulisnya BERANI, 
Maksud aku berani, watak Hanna yang berperanan sebagai seorang Ustazah nampak realistik. Dia juga manusia biasa yang tidak mungkin lepas dari ujian keimanan. Berani, kerana penulis jujur dalam menunjukkan betapa susahnya apabila dilanda "ujian HATI"…. tapi semuanya jadi mudah kerana kita ada Allah. Menangislah, tidak mengapa, asal tahu di mana mahu cari Allah!



Aku sendiri cuba memahami "situasi ustazah Hanna", ada saatnya akalku juga hampir "tewas" namun penulis berjaya menyedarkan pembaca kembali.
Memang terasa seram sejuk satu badan jika situasi itu terjadi kepada batang tubuh sendiri.. na'udzubillahi mindzalik! Moga Allah perkuatkan iman di hati! Syaitan tidak kuat, Allah lah yang Maha Hebat!

Satu naskhah yang tidak cliche, sehingga sukar untuk aku membuat tekaan sepanjang pembacaan, tapi ada SATU perkara yang membuat aku "Hampir Berjaya menerka"…

Kerana, dari mula, aku kenal peribadi Hanna……
Aku percaya dengan setiap tindakannya
Aku percaya dengan matlamat akhiratnya…

Sungguh aku puji sikap watak utama ini. Watak-watak lain juga istimewa, penambah seri dan rasa!

Walaupun pada saat-saat akhir aku hampir keliru dengan "keputusan" Hanna tapi akhirnya memang aku tahu Hanna akan buat begitu! kerana penulis berjaya menguatkan dan memberi gambaran pada pembaca bagaimana peribadi Hanna DARI MULA!

Saya Tunggu Awak!

Buat Bonda Nor, Tahniah, jika ini jalan da'wahmu, teruskan! Moga Allah permudahkan dan ilmu yg bermanfaat melalui penulisan akan terus mengalir dan menerangi di "alam sana" nanti.
Ameen Ya Allah!


Beli STA sewaktu PestaBuku minggu lepas :D

P/s: Bonda Nor, buku Puan sold out di pesta buku di sini! Lepas baca buku ni, memang tidak habis2 promosi besar2an pada kawan2! Hihi . Assalam…...