About Me

My photo
Brunei
Hidup adalah Tanggungjawab. Bukan untuk dunia, tapi untuk DIA

Pages

Wednesday 30 September 2015

Jagalah 'syurga'mu

Bismillahirrahmanirrahiim...



"Na, ayah masih ada?"
"Dah meninggal, kak"
"Bila?"
"Tahun 2008"


Soalan ringkas yang diajukan oleh rakan sekerja pada pagi tadi membuat aku berfikir panjang sehingga kini. Sudah lama rasanya soalan seperti itu tidak singgah di telinga. Malas pula aku mahu bercerita andai tidak ada yang bertanya. Namun bila soalan itu ditanya lagi pada hari ini, jujur, ianya memang menggamit rasa rindu itu kembali.


Tidak sangka, hampir 8 tahun sudah ayah meninggalkan kami semua. Masih basah di ingatanku 'saat-saat terakhir' itu. Aku hanya berseorangan di wad kecemasan setelah membawa ayah dengan menggunakan van ambulan. Yang lain pula masih dalam perjalanan.


"Cik, keadaan ayah cik sangat kritikal sekarang. Bersedialah untuk menerima sebarang kemungkinan." Hampir aku terduduk mendengar sebuah kenyataan, ingin aku peluk ahli keluarga untuk meminjam sedikit kekuatan. Namun mereka semua belum ada di depan mata. Aku benar-benar berseorangan sebenarnya. Hanya Allah sahaja yang menemani aku untuk memujuk hati sendiri.


Aneh, bila aku cuba imbas kembali apa yang terjadi selepas itu, aku tidak mampu mengingatnya satu persatu. Memoriku seakan tersekat setakat di sana saja. Allahuakbar, aku cuba tapi tidak jumpa! Yang aku mampu mula ingat, pada malam jumaat itu semua ahli keluarga sudah berkumpul di bilik wad. Bila tiba ketentuan-Nya, apalah daya kita untuk menghalangnya. Roh tetap akan berpisah dari jasad juga akhirnya.

Innalillahi wa inna ilaihi roji'un. Aku redha atas ketentuan-Mu.

Dalam rasa kehilangan, aku berterima kasih pada Allah Ar-Rahman. Ayah dipanggil-Nya kembali pada hari Jumaat penghulu segala hari. Ianya juga jatuh pada hari 'Asyura, 10 Muharram. Semoga arwah ayah ditempatkan di kalangan para orang-orang yang beriman. Allahumma amiin.

***

Buat sahabat-sahabat, izinkan aku berkongsi peringatan. Ini bukan bermakna aku sempurna sebagai seorang insan. Diri sendirilah sebenarnya ingin aku beri pengajaran. 'Dengarkan' dan fahamkan.


Sahabat-sahabat yang masih memiliki kedua orangtua, jagalah 'syurga' kalian sebaik-baiknya. Penuhi keperluan mereka selama mana ianya tidak bertentangan dengan agama. Jangan sesekali menyakiti hati mereka. Andai berkata 'ah' sudah kita dilarang oleh Allah. Lalu apatah lagi sikap yang lebih 'rendah'? Mungkin dosa kita pada mereka sudah melepasi langit agaknya. Ini bahaya, jaga-jaga. Redha Allah tergantung pada redha ibubapa, jangan kata Rasulullah (solallahu 'alaihi wasallam) tidak pernah mengingatkan kita.

Jika sampai saat usia tua mereka, ini bonus kita yang tidak diberikan kepada semua. Rawatlah mereka dengan sehalus-halusnya. Jika perlu membersihkan najis mereka, tolong, tolong jangan ada rasa jijik padanya. Dulu siapa yang menyalin lampin kita? Siapa yang bersengkang mata melayan karenah kita yang entah apa-apa? Lalu layakkah kita untuk berkira? Layakkah kita? Setitis air susu ibu pun kita tidak akan mampu membayarnya walau kita cuba memberikan seluruh isi dunia. Justeru, jagalah mereka. Kita tidak tahu, mungkin esok mereka sudah tiada. Akan hilanglah sumber keberkatan doa buat kita. Doa ibu bapa buat anak-anak mereka tidak ada hijabnya.



Buat yang sudah kehilangan salah seorang atau kedua-duanya, jagalah akhlak dan iman kita agar akhirnya kita kembali bersatu di syurga. Sedekahkanlah Al-Fatihah buat mereka setiap masa, tidak kiralah mereka masih ada atau tiada.

***


Ya Allah, Ya Tuhanku
Izinkanlah kami bersatu kembali di dalam syurga-Mu
 Ujilah aku agar terdidik akhlakku
Ujilah aku agar mencantikkan imanku
Biarlah aku lulus semua ujian-Mu

Allahu Rabbi
Panggillah aku dalam keadaan Engkau redha ke atasku
Allahumma amiin




"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."

:: Surah Al-Isra' : ayat 23 ::

Tuesday 29 September 2015

Kisah Di Balik Awan

Bismillahirrahmanirrahiim.....


(Photo credit to Adyani)


Sungguh bumi Allah ini sangat luas. Berkelana di atasnya tidak pernah puas. Lalu kaki ini aku lompatkannya lagi ke langit ciptaan-Nya yang tinggi. Kepak besi itu aku renung dengan penuh berhati-hati. Nampak gagah dia di sana melanggar pasukan awan yang ada kalanya menutupi pandangan, ada waktunya kelihatan bagai cebisan kapas-kapas halus berterbangan. Sungguh menawan!


Allahuakbar, aku terpukau lagi, berkali-kali inilah yang selalu terjadi. Di saat rasa risau tiba-tiba bertandang dek teringat pada 'bicara-bicara palsu' yang bagai tidak percaya akan takdir aturan Tuhan yang satu. Di daratkah tempatku, di hutan belantarakah persinggahanku, di luar bima saktikah destinasiku, andai saat itu adalah tarikh kematianku, apalah dayaku menahan-nahan waktu?

Ah! Sudah! Langkah kali ini aku hayunkan hanya untuk menadah ibrah, menjejak hikmah dalam membantuku untuk terus bermujahadah di jalan Allah. Insya-Allah. Marilah!

***



Catatan Musafir Ana & Adyani 

7hb September 2015 - 10hb September 2015
(Brunei - Kuala Lumpur - Kuala Terengganu - Kuala Lumpur - Brunei)




'Sahaja Aku Jatuh Cinta' menjadi simbolik kisah musafir Aku dan Adyani. Kami bukanlah mahu menjejak hikayat cinta Teruna Dara, bukan pula kisah Romeo Juliet yang kononnya sanggup mati bersama kerana cinta. Tetapi ini adalah sebuah perjalanan musafir bertemankan nawaitu yang telah lama bertapak di dalam kalbu. Nawaitu yang selalu dahagakan sumber inspirasi, yang selalu tercari-cari sumber motivasi.


Sungguhlah, untuk hidup penuh dengan istiqamah di dalam bermujahadah di penghujung zaman sebegini bukanlah semudah menadah titisan embun di waktu pagi yang hadirnya sentiasa di depan mata setiap hari. Namun hakikatnya semangat mujahadah ini terkadang marak berapi-api, tapi ada ketikanya malap pula tanpa cahaya yang menerangi. Di saat dunia yang sangat tenat, kami cuba terus bertahan dalam melunaskan niat dan hajat walaupun dengan jalan berpenat-penat. Izinkanlah kami 'meniru' semangat para mujahidin walaupun hanya dalam beberapa waktu.


Justeru, dengan peluang yang muncul tanpa disangka-sangka, undangan dari seorang sahabat penulis novel tarbiyah yang sangat kami hormati seperti seorang guru yang selalu berkongsi ilmu dan sangat kami sayangi sebagai seorang sahabat yang sangat kaya dalam menghulurkan pelbagai nasihat. Terima kasih Bonda Nor kerana menjemput kami kali ini. Bagaikan mimpi, akhirnya Allah memberikan kami rezeki untuk mampu menghadiri majlis ilmu di Kuala Terengganu pada 9hb September 2015 yang lalu. Ianya adalah sebuah forum, Bicara Tokoh 'Ada Apa Dengan Ammar?'


Dari kanan : Tuan Haji Azam, Puan Nur Azlina, Nadiah, Atie, Bonda Nor, Adyani, Ana July.



Tuan Haji Ahmad Azam "Kita hanya perlu berkehendak dulu, nanti Allah aturkan jalannya satu persatu"

Puan Nur Azlina "Anak itu Anugerah, anak itu Amanah, anak itu Pinjaman, anak itu Ujian"


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, selama lebih kurang dua jam menadah ilmu daripada dua orang tokoh yang sangat dikenali kisah perjuangan mereka ini, sungguh ianya adalah sebuah pengalaman dan memori yang sangat berharga yang tidak boleh dijual-beli.
Teringat pula pada kata-kata Puan Pengarah Perpustakaan sewaktu beliau berucap sebelum Forum dimulakan. Beliau berkata bahawa Forum Bicara Tokoh kali ini sangat unik dan cukup berbeza dari yang sebelumnya. Selalunya yang hadir menyampaikan ceramah adalah tokoh itu sendiri, tetapi kali ini, Tokoh itu sudah tidak ada lagi di dunia ini. Namun dengan kuasa Allah, peribadinya pula terserlah di saat dirinya sudah kembali ke rahmatullah. Benar, sudah pasti tersimpannya hikmah yang sudah zahir kelihatan dan mungkin masih disimpan untuk perjuangan di masa hadapan.


Namun Forum ini sangat istimewa, lahirnya seorang tokoh sudah pastilah kerana ada tangan-tangan tokoh yang mendidiknya. Inilah mereka, Tuan Haji Ahmad Azam dan Puan Nur Azlina. Subhanallah, membaca kisah-kisah mereka melalui Novel "Sahaja Aku Jatuh Cinta" dan juga buku motivasi Ahmad Ammar Engkau Milik-Nya" hasil tulisan Bonda Nor yang juga selaku moderator bagi forum ini, sangatlah terinspirasi.


Wajarlah, Allah mengurniakan mereka dengan hadiah yang cukup berharga. Bacalah kisah mereka, inilah contoh kisah perjuangan cinta yang sejati. Cinta berbentuk Ummatik dan Akhirat-Centric!



Pelancaran Shortfilm dakwah "Jodoh Dalam Botol" 


Dan, Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Hadirnya kami ke majlis ini juga turut mewakili sahabat-sahabat Ulfah Jannah dalam turut sama melancarkan shortfilm Jodoh Dalam Botol karya Bonda Nor sendiri. Uniknya, ianya adalah gabungan 3 orang pengarah daripada 3 buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei. Boleh tonton di Youtube ya :)


Jujur, shortfilm dakwah ini juga adalah simbolik ukhuwwah kami dalam cuba memperjuangkan misi dakwah. Kami tidak mampu hadir bersama-sama sentiasa, namun cukuplah niat dan misi itu yang menyatukan kami semua.





Ya Allah, kekalkanlah nikmat ukhuwah yang cukup indah ini.



Musafir Menjejak Ibrah, Menjalin Ukhuwah


Dear Akhawat

Kisah kita bermula kerana Allah
Biarkanlah ianya terus berkelana kerana Allah
Kita tidak akan selamanya menongkat dunia
Sampai waktunya salah seorang daripada kita akan pergi dahulu menghadap yang Maha Esa
Usah diterka siapa yang dahulu sampai 'ke sana'
Kerana itu bukan kuasa kita untuk menentukannya.
Teguhkanlah langkah kaki kita menuju destinasi yang sama
Menuju SYURGA.

Bila 'saat terakhir' itu tiba
Kenanglah semuanya dalam setiap bait-bait doa
Sedekahkanlah Al-Fatihah dan abadikanlah kisah yang indah-indah sahaja.
Teruskanlah bermujahadah di jalan Allah
Carilah hanya redha Allah.
Terima kasih atas ikatan ukhuwah yang sangat indah.
Terima kasih Ya Allah.
Alhamdulillah.




-Ana July-
29hb September 2015