Bismillahirrahmanirrahiim.....
Setiap pagi, seperti biasa sebelum aku memulakan perjalanan untuk pergi bekerja, aku akan baca doa dulu sebelum memandu. Perjalanan daripada rumah menuju ke sekolah pada mulanya biasa-biasa saja. Tidak ada beza dengan hari-hari yang lainnya. Perjalanan yang terpaksa menempuhi kesesakan jalan raya. Ada kalanya perjalanan akan lancar, ada waktunya terpaksa berhenti untuk tempoh yang agak lama. Yang pasti, aku sudah lali dengan situasi sebegini.
Namun pada seawal pagi tadi, ada satu kejadian yang membuatkan hari ini lebih "istimewa" berbanding hari-hari sebelumnya.
Aku dilanggar kereta. Ya, aku dilanggar kereta. AllahuAkbar.
Beberapa saat sebelum keretaku dilanggar, entah kenapa, mataku sempat melihat pada cermin dashboard dan serta-merta memang aku duga keretaku bakal dilanggar olehnya. Dan sebelum kejadian yang sepantas kilat itu berlaku, perkataan yang sempat aku ucapkan hanya satu,
"Ya Allah!"
DUSH!!! Akhirnya memang kena! Keretaku menjadi mangsa. Kereta di belakang tidak sempat menekan brek keretanya. Namun aku tahu punca kemalangan itu, dia bermesej sambil memandu! Allahu!
Subhanallah, aku sudah berusaha memandu dengan penuh hati-hati, namun kemalangan tetap terjadi. Astaghfirullah, kita mungkin selalu saja fikir kita tidak akan ditimpa bahaya jika kita mengambil langkah berwaspada. Dalam aku berasa selesa dan menduga perjalananku akan selamat sahaja, aku hampir lupa, ternyata kemalangan dan ajal ada di mana-mana. Subhanallah, uniknya cara peringatan Allah. Mengingat mati melalui musibah!
Dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang. Subhanallah, Maha Benar kata-kata Allah yang Maha Agung. Kemalangan itu seakan langsung tidak menghidupkan api kemarahanku. Aku boleh saja marah kerana punca kemalangan itu adalah kerana dia bermesej sambil memandu. Namun bila mengingati Allah, serta-merta aku berserah. Yang sudah tu sudahlah. Yang melanggar itu juga dihimpit rasa bersalah.
Semoga ada pengajaran yang diperolehi. Yang pasti, ada hikmah yang menanti.
Aku redha ya Allah atas semua ini.
-AnaJuly- Catatan Kemalangan-
No comments:
Post a Comment