About Me

My photo
Brunei
Hidup adalah Tanggungjawab. Bukan untuk dunia, tapi untuk DIA

Pages

Wednesday, 30 September 2015

Jagalah 'syurga'mu

Bismillahirrahmanirrahiim...



"Na, ayah masih ada?"
"Dah meninggal, kak"
"Bila?"
"Tahun 2008"


Soalan ringkas yang diajukan oleh rakan sekerja pada pagi tadi membuat aku berfikir panjang sehingga kini. Sudah lama rasanya soalan seperti itu tidak singgah di telinga. Malas pula aku mahu bercerita andai tidak ada yang bertanya. Namun bila soalan itu ditanya lagi pada hari ini, jujur, ianya memang menggamit rasa rindu itu kembali.


Tidak sangka, hampir 8 tahun sudah ayah meninggalkan kami semua. Masih basah di ingatanku 'saat-saat terakhir' itu. Aku hanya berseorangan di wad kecemasan setelah membawa ayah dengan menggunakan van ambulan. Yang lain pula masih dalam perjalanan.


"Cik, keadaan ayah cik sangat kritikal sekarang. Bersedialah untuk menerima sebarang kemungkinan." Hampir aku terduduk mendengar sebuah kenyataan, ingin aku peluk ahli keluarga untuk meminjam sedikit kekuatan. Namun mereka semua belum ada di depan mata. Aku benar-benar berseorangan sebenarnya. Hanya Allah sahaja yang menemani aku untuk memujuk hati sendiri.


Aneh, bila aku cuba imbas kembali apa yang terjadi selepas itu, aku tidak mampu mengingatnya satu persatu. Memoriku seakan tersekat setakat di sana saja. Allahuakbar, aku cuba tapi tidak jumpa! Yang aku mampu mula ingat, pada malam jumaat itu semua ahli keluarga sudah berkumpul di bilik wad. Bila tiba ketentuan-Nya, apalah daya kita untuk menghalangnya. Roh tetap akan berpisah dari jasad juga akhirnya.

Innalillahi wa inna ilaihi roji'un. Aku redha atas ketentuan-Mu.

Dalam rasa kehilangan, aku berterima kasih pada Allah Ar-Rahman. Ayah dipanggil-Nya kembali pada hari Jumaat penghulu segala hari. Ianya juga jatuh pada hari 'Asyura, 10 Muharram. Semoga arwah ayah ditempatkan di kalangan para orang-orang yang beriman. Allahumma amiin.

***

Buat sahabat-sahabat, izinkan aku berkongsi peringatan. Ini bukan bermakna aku sempurna sebagai seorang insan. Diri sendirilah sebenarnya ingin aku beri pengajaran. 'Dengarkan' dan fahamkan.


Sahabat-sahabat yang masih memiliki kedua orangtua, jagalah 'syurga' kalian sebaik-baiknya. Penuhi keperluan mereka selama mana ianya tidak bertentangan dengan agama. Jangan sesekali menyakiti hati mereka. Andai berkata 'ah' sudah kita dilarang oleh Allah. Lalu apatah lagi sikap yang lebih 'rendah'? Mungkin dosa kita pada mereka sudah melepasi langit agaknya. Ini bahaya, jaga-jaga. Redha Allah tergantung pada redha ibubapa, jangan kata Rasulullah (solallahu 'alaihi wasallam) tidak pernah mengingatkan kita.

Jika sampai saat usia tua mereka, ini bonus kita yang tidak diberikan kepada semua. Rawatlah mereka dengan sehalus-halusnya. Jika perlu membersihkan najis mereka, tolong, tolong jangan ada rasa jijik padanya. Dulu siapa yang menyalin lampin kita? Siapa yang bersengkang mata melayan karenah kita yang entah apa-apa? Lalu layakkah kita untuk berkira? Layakkah kita? Setitis air susu ibu pun kita tidak akan mampu membayarnya walau kita cuba memberikan seluruh isi dunia. Justeru, jagalah mereka. Kita tidak tahu, mungkin esok mereka sudah tiada. Akan hilanglah sumber keberkatan doa buat kita. Doa ibu bapa buat anak-anak mereka tidak ada hijabnya.



Buat yang sudah kehilangan salah seorang atau kedua-duanya, jagalah akhlak dan iman kita agar akhirnya kita kembali bersatu di syurga. Sedekahkanlah Al-Fatihah buat mereka setiap masa, tidak kiralah mereka masih ada atau tiada.

***


Ya Allah, Ya Tuhanku
Izinkanlah kami bersatu kembali di dalam syurga-Mu
 Ujilah aku agar terdidik akhlakku
Ujilah aku agar mencantikkan imanku
Biarlah aku lulus semua ujian-Mu

Allahu Rabbi
Panggillah aku dalam keadaan Engkau redha ke atasku
Allahumma amiin




"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."

:: Surah Al-Isra' : ayat 23 ::

No comments: