About Me

My photo
Brunei
Hidup adalah Tanggungjawab. Bukan untuk dunia, tapi untuk DIA

Pages

Wednesday, 30 September 2015

Jagalah 'syurga'mu

Bismillahirrahmanirrahiim...



"Na, ayah masih ada?"
"Dah meninggal, kak"
"Bila?"
"Tahun 2008"


Soalan ringkas yang diajukan oleh rakan sekerja pada pagi tadi membuat aku berfikir panjang sehingga kini. Sudah lama rasanya soalan seperti itu tidak singgah di telinga. Malas pula aku mahu bercerita andai tidak ada yang bertanya. Namun bila soalan itu ditanya lagi pada hari ini, jujur, ianya memang menggamit rasa rindu itu kembali.


Tidak sangka, hampir 8 tahun sudah ayah meninggalkan kami semua. Masih basah di ingatanku 'saat-saat terakhir' itu. Aku hanya berseorangan di wad kecemasan setelah membawa ayah dengan menggunakan van ambulan. Yang lain pula masih dalam perjalanan.


"Cik, keadaan ayah cik sangat kritikal sekarang. Bersedialah untuk menerima sebarang kemungkinan." Hampir aku terduduk mendengar sebuah kenyataan, ingin aku peluk ahli keluarga untuk meminjam sedikit kekuatan. Namun mereka semua belum ada di depan mata. Aku benar-benar berseorangan sebenarnya. Hanya Allah sahaja yang menemani aku untuk memujuk hati sendiri.


Aneh, bila aku cuba imbas kembali apa yang terjadi selepas itu, aku tidak mampu mengingatnya satu persatu. Memoriku seakan tersekat setakat di sana saja. Allahuakbar, aku cuba tapi tidak jumpa! Yang aku mampu mula ingat, pada malam jumaat itu semua ahli keluarga sudah berkumpul di bilik wad. Bila tiba ketentuan-Nya, apalah daya kita untuk menghalangnya. Roh tetap akan berpisah dari jasad juga akhirnya.

Innalillahi wa inna ilaihi roji'un. Aku redha atas ketentuan-Mu.

Dalam rasa kehilangan, aku berterima kasih pada Allah Ar-Rahman. Ayah dipanggil-Nya kembali pada hari Jumaat penghulu segala hari. Ianya juga jatuh pada hari 'Asyura, 10 Muharram. Semoga arwah ayah ditempatkan di kalangan para orang-orang yang beriman. Allahumma amiin.

***

Buat sahabat-sahabat, izinkan aku berkongsi peringatan. Ini bukan bermakna aku sempurna sebagai seorang insan. Diri sendirilah sebenarnya ingin aku beri pengajaran. 'Dengarkan' dan fahamkan.


Sahabat-sahabat yang masih memiliki kedua orangtua, jagalah 'syurga' kalian sebaik-baiknya. Penuhi keperluan mereka selama mana ianya tidak bertentangan dengan agama. Jangan sesekali menyakiti hati mereka. Andai berkata 'ah' sudah kita dilarang oleh Allah. Lalu apatah lagi sikap yang lebih 'rendah'? Mungkin dosa kita pada mereka sudah melepasi langit agaknya. Ini bahaya, jaga-jaga. Redha Allah tergantung pada redha ibubapa, jangan kata Rasulullah (solallahu 'alaihi wasallam) tidak pernah mengingatkan kita.

Jika sampai saat usia tua mereka, ini bonus kita yang tidak diberikan kepada semua. Rawatlah mereka dengan sehalus-halusnya. Jika perlu membersihkan najis mereka, tolong, tolong jangan ada rasa jijik padanya. Dulu siapa yang menyalin lampin kita? Siapa yang bersengkang mata melayan karenah kita yang entah apa-apa? Lalu layakkah kita untuk berkira? Layakkah kita? Setitis air susu ibu pun kita tidak akan mampu membayarnya walau kita cuba memberikan seluruh isi dunia. Justeru, jagalah mereka. Kita tidak tahu, mungkin esok mereka sudah tiada. Akan hilanglah sumber keberkatan doa buat kita. Doa ibu bapa buat anak-anak mereka tidak ada hijabnya.



Buat yang sudah kehilangan salah seorang atau kedua-duanya, jagalah akhlak dan iman kita agar akhirnya kita kembali bersatu di syurga. Sedekahkanlah Al-Fatihah buat mereka setiap masa, tidak kiralah mereka masih ada atau tiada.

***


Ya Allah, Ya Tuhanku
Izinkanlah kami bersatu kembali di dalam syurga-Mu
 Ujilah aku agar terdidik akhlakku
Ujilah aku agar mencantikkan imanku
Biarlah aku lulus semua ujian-Mu

Allahu Rabbi
Panggillah aku dalam keadaan Engkau redha ke atasku
Allahumma amiin




"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."

:: Surah Al-Isra' : ayat 23 ::

Tuesday, 29 September 2015

Kisah Di Balik Awan

Bismillahirrahmanirrahiim.....


(Photo credit to Adyani)


Sungguh bumi Allah ini sangat luas. Berkelana di atasnya tidak pernah puas. Lalu kaki ini aku lompatkannya lagi ke langit ciptaan-Nya yang tinggi. Kepak besi itu aku renung dengan penuh berhati-hati. Nampak gagah dia di sana melanggar pasukan awan yang ada kalanya menutupi pandangan, ada waktunya kelihatan bagai cebisan kapas-kapas halus berterbangan. Sungguh menawan!


Allahuakbar, aku terpukau lagi, berkali-kali inilah yang selalu terjadi. Di saat rasa risau tiba-tiba bertandang dek teringat pada 'bicara-bicara palsu' yang bagai tidak percaya akan takdir aturan Tuhan yang satu. Di daratkah tempatku, di hutan belantarakah persinggahanku, di luar bima saktikah destinasiku, andai saat itu adalah tarikh kematianku, apalah dayaku menahan-nahan waktu?

Ah! Sudah! Langkah kali ini aku hayunkan hanya untuk menadah ibrah, menjejak hikmah dalam membantuku untuk terus bermujahadah di jalan Allah. Insya-Allah. Marilah!

***



Catatan Musafir Ana & Adyani 

7hb September 2015 - 10hb September 2015
(Brunei - Kuala Lumpur - Kuala Terengganu - Kuala Lumpur - Brunei)




'Sahaja Aku Jatuh Cinta' menjadi simbolik kisah musafir Aku dan Adyani. Kami bukanlah mahu menjejak hikayat cinta Teruna Dara, bukan pula kisah Romeo Juliet yang kononnya sanggup mati bersama kerana cinta. Tetapi ini adalah sebuah perjalanan musafir bertemankan nawaitu yang telah lama bertapak di dalam kalbu. Nawaitu yang selalu dahagakan sumber inspirasi, yang selalu tercari-cari sumber motivasi.


Sungguhlah, untuk hidup penuh dengan istiqamah di dalam bermujahadah di penghujung zaman sebegini bukanlah semudah menadah titisan embun di waktu pagi yang hadirnya sentiasa di depan mata setiap hari. Namun hakikatnya semangat mujahadah ini terkadang marak berapi-api, tapi ada ketikanya malap pula tanpa cahaya yang menerangi. Di saat dunia yang sangat tenat, kami cuba terus bertahan dalam melunaskan niat dan hajat walaupun dengan jalan berpenat-penat. Izinkanlah kami 'meniru' semangat para mujahidin walaupun hanya dalam beberapa waktu.


Justeru, dengan peluang yang muncul tanpa disangka-sangka, undangan dari seorang sahabat penulis novel tarbiyah yang sangat kami hormati seperti seorang guru yang selalu berkongsi ilmu dan sangat kami sayangi sebagai seorang sahabat yang sangat kaya dalam menghulurkan pelbagai nasihat. Terima kasih Bonda Nor kerana menjemput kami kali ini. Bagaikan mimpi, akhirnya Allah memberikan kami rezeki untuk mampu menghadiri majlis ilmu di Kuala Terengganu pada 9hb September 2015 yang lalu. Ianya adalah sebuah forum, Bicara Tokoh 'Ada Apa Dengan Ammar?'


Dari kanan : Tuan Haji Azam, Puan Nur Azlina, Nadiah, Atie, Bonda Nor, Adyani, Ana July.



Tuan Haji Ahmad Azam "Kita hanya perlu berkehendak dulu, nanti Allah aturkan jalannya satu persatu"

Puan Nur Azlina "Anak itu Anugerah, anak itu Amanah, anak itu Pinjaman, anak itu Ujian"


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, selama lebih kurang dua jam menadah ilmu daripada dua orang tokoh yang sangat dikenali kisah perjuangan mereka ini, sungguh ianya adalah sebuah pengalaman dan memori yang sangat berharga yang tidak boleh dijual-beli.
Teringat pula pada kata-kata Puan Pengarah Perpustakaan sewaktu beliau berucap sebelum Forum dimulakan. Beliau berkata bahawa Forum Bicara Tokoh kali ini sangat unik dan cukup berbeza dari yang sebelumnya. Selalunya yang hadir menyampaikan ceramah adalah tokoh itu sendiri, tetapi kali ini, Tokoh itu sudah tidak ada lagi di dunia ini. Namun dengan kuasa Allah, peribadinya pula terserlah di saat dirinya sudah kembali ke rahmatullah. Benar, sudah pasti tersimpannya hikmah yang sudah zahir kelihatan dan mungkin masih disimpan untuk perjuangan di masa hadapan.


Namun Forum ini sangat istimewa, lahirnya seorang tokoh sudah pastilah kerana ada tangan-tangan tokoh yang mendidiknya. Inilah mereka, Tuan Haji Ahmad Azam dan Puan Nur Azlina. Subhanallah, membaca kisah-kisah mereka melalui Novel "Sahaja Aku Jatuh Cinta" dan juga buku motivasi Ahmad Ammar Engkau Milik-Nya" hasil tulisan Bonda Nor yang juga selaku moderator bagi forum ini, sangatlah terinspirasi.


Wajarlah, Allah mengurniakan mereka dengan hadiah yang cukup berharga. Bacalah kisah mereka, inilah contoh kisah perjuangan cinta yang sejati. Cinta berbentuk Ummatik dan Akhirat-Centric!



Pelancaran Shortfilm dakwah "Jodoh Dalam Botol" 


Dan, Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Hadirnya kami ke majlis ini juga turut mewakili sahabat-sahabat Ulfah Jannah dalam turut sama melancarkan shortfilm Jodoh Dalam Botol karya Bonda Nor sendiri. Uniknya, ianya adalah gabungan 3 orang pengarah daripada 3 buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei. Boleh tonton di Youtube ya :)


Jujur, shortfilm dakwah ini juga adalah simbolik ukhuwwah kami dalam cuba memperjuangkan misi dakwah. Kami tidak mampu hadir bersama-sama sentiasa, namun cukuplah niat dan misi itu yang menyatukan kami semua.





Ya Allah, kekalkanlah nikmat ukhuwah yang cukup indah ini.



Musafir Menjejak Ibrah, Menjalin Ukhuwah


Dear Akhawat

Kisah kita bermula kerana Allah
Biarkanlah ianya terus berkelana kerana Allah
Kita tidak akan selamanya menongkat dunia
Sampai waktunya salah seorang daripada kita akan pergi dahulu menghadap yang Maha Esa
Usah diterka siapa yang dahulu sampai 'ke sana'
Kerana itu bukan kuasa kita untuk menentukannya.
Teguhkanlah langkah kaki kita menuju destinasi yang sama
Menuju SYURGA.

Bila 'saat terakhir' itu tiba
Kenanglah semuanya dalam setiap bait-bait doa
Sedekahkanlah Al-Fatihah dan abadikanlah kisah yang indah-indah sahaja.
Teruskanlah bermujahadah di jalan Allah
Carilah hanya redha Allah.
Terima kasih atas ikatan ukhuwah yang sangat indah.
Terima kasih Ya Allah.
Alhamdulillah.




-Ana July-
29hb September 2015




Tuesday, 28 April 2015

Redha itu Indah

Bismillahirrahmanirrahiim.....





Setiap pagi, seperti biasa sebelum aku memulakan perjalanan untuk pergi bekerja, aku akan baca doa dulu sebelum memandu. Perjalanan daripada rumah menuju ke sekolah pada mulanya biasa-biasa saja. Tidak ada beza dengan hari-hari yang lainnya. Perjalanan yang terpaksa menempuhi kesesakan jalan raya. Ada kalanya perjalanan akan lancar, ada waktunya terpaksa berhenti untuk tempoh yang agak lama. Yang pasti, aku sudah lali dengan situasi sebegini.

Namun pada seawal pagi tadi, ada satu kejadian yang membuatkan hari ini lebih "istimewa" berbanding hari-hari sebelumnya.

Aku dilanggar kereta. Ya, aku dilanggar kereta. AllahuAkbar.

Beberapa saat sebelum keretaku dilanggar, entah kenapa, mataku sempat melihat pada cermin dashboard dan serta-merta memang aku duga keretaku bakal dilanggar olehnya. Dan sebelum kejadian yang sepantas kilat itu berlaku, perkataan yang sempat aku ucapkan hanya satu,

"Ya Allah!"


DUSH!!! Akhirnya memang kena! Keretaku menjadi mangsa. Kereta di belakang tidak sempat menekan brek keretanya. Namun aku tahu punca kemalangan itu, dia bermesej sambil memandu! Allahu!

Subhanallah, aku sudah berusaha memandu dengan penuh hati-hati, namun kemalangan tetap terjadi. Astaghfirullah, kita mungkin selalu saja fikir kita tidak akan ditimpa bahaya jika kita mengambil langkah berwaspada. Dalam aku berasa selesa dan menduga perjalananku akan selamat sahaja, aku hampir lupa, ternyata kemalangan dan ajal ada di mana-mana. Subhanallah, uniknya cara peringatan Allah. Mengingat mati melalui musibah!


Dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang. Subhanallah, Maha Benar kata-kata Allah yang Maha Agung. Kemalangan itu seakan langsung tidak menghidupkan api kemarahanku. Aku boleh saja marah kerana punca kemalangan itu adalah kerana dia bermesej sambil memandu. Namun bila mengingati Allah, serta-merta aku berserah. Yang sudah tu sudahlah. Yang melanggar itu juga dihimpit rasa bersalah.

Semoga ada pengajaran yang diperolehi. Yang pasti, ada hikmah yang menanti.

Aku redha ya Allah atas semua ini.


-AnaJuly- Catatan Kemalangan-


Monday, 23 March 2015

Sahaja Aku Jatuh Cinta - BondaNor

Bismillah.....


Alhamdulillah, selesai sudah 'menjelajah' sebuah lagi novel tarbiyah. 

Walaupun novel kedua BondaNor kali ini tidak setebal novel pertama SayaTungguAwak
Namun ternyata ianya tidak menghalang baginya untuk memuatkan segala isi yang bermanfaat!






"Sahaja Aku Jatuh Cinta" 
Subhanallah, membaca tajuknya sudah membuatkan hati terikat
Berkisar tentang natijah sekeping niat


AllahuAkbar! 
Benarlah pesanan Insan Yang Dilahirkan sempurna yang sudah wafat 1400+ yang lalu
"Innamal A'maalu Binniyat"
"Sesungguhnya amal itu tergantung dengan NIAT"
Bila semuanya dilakukan kerana Allah
Sudah pasti aturan takdir akan menjadi lebih indah dan penuh barakah



Menariknya novel ini kerana ianya sebuah novel adaptasi
Adaptasi dari kisah realiti
Ya, realiti, bermakna insan-insan hebat di dalam novel ini benar-benar masih wujud di muka bumi!


Pengorbanan, Kecekalan, Ketaatan, Kesabaran, Kesetiaan yang dibawakan oleh watak-watak di dalam novel ini sangat meninggalkan kesan.

Cabaran hidup yang dihadapi oleh Hajar (watak utama) sangatlah membuka mata.
Watak seorang isteri solehah yang taat dan setia memang ada padanya.
Jika tidak kuat tawakkal dan imannya pada Allah, sudah tentu dari mula lagi dia sudah mengalah.

Subhanallah, wajarlah, wajarlah, wajarlah pasangan suami isteri ini dikurniakan dengan satu anugerah yang cukup indah.


Ahmad Ammar,
Inilah dia anugerah terindah
Inilah pemuda yang syahid di bumi Turki
Lahir dari pasangan yang memperjuangkan agama demi Allah
Bersedia menggalas tanggungjawab dari ummah untuk ummah

Ada syarat yang harus dipersetujui sebelum pernikahan
Ada cinta yang harus 'dikongsi' semasa perkahwinan

Syukur Alhamdulillah, novel ini telah membuka minda dan mata hati untuk lebih memahami erti cinta yang sejati.

"Cinta Ini Bersyarat, Ada Yang Mengikat dan Terikat"


Tahniah BondaNor di atas kejayaan SahajaAkuJatuhCinta. Saya benar-benar jatuh cinta!


Semoga kita semua beroleh husnul khotimah. Amiin.... <3 p="">




p/s: BondaNor, Saya "tewas" pada babak-babak terakhir, uwaaaaaaa!











Saturday, 3 January 2015

Kembara Menadah Cinta 2014



Bismillahirrahmanirrahiim......


Alhamdulillah, pada 24.12.2014 sehingga 31.12.2014 , Allah masih izinkan aku meneruskan langkah sebagai musafir lagi. Mencari ibrah dan hikmah, menyambung ukhuwwah dan mentadabbur alam ciptaan Allah.


Setiap kali berada di udara, aku seringkali merasa takjub dengan alam ciptaanNya, betapa 'kuman'nya kita sebagai hamba bila berada di langit nun di atas sana. Bumi kelihatan kecil dari langit yang masih belum mampu diteroka seluruhnya oleh manusia. Allah Maha Besar, BENAR!




Catatan 24.12.2014


Langkah musafirku pun bermula, belum sampai ke destinasi, Allah telah uji. DIA uji.... bersediakah aku untuk mati? Keadaan kapal terbang pada malam itu agak mendebarkan kerana keadaan cuaca yang kurang baik sehingga menyebabkan pesawat berada dalam situasi 'turun naik' dan bergegar buat tempoh yang agak lama. Jantung berdegup laju, pelbagai kemungkinan bakal berlaku. Walaupun situasi seperti itu adalah dikira sebagai satu "fenomena normal" sebenarnya namun apabila mengenangkan pelbagai tragedi buruk pernah berlaku yang melibatkan pesawat, kami mula timbul rasa "kurang selamat".


"Kenapa? Takut mati?" suara hati mula mengejek. Allahu! Betulkah aku takut mati? Kenapa? Sebab amalan belum sempurna? Masih banyak dosa yang tersisa? Juga tidak tahu setakat mana sudah terkumpul pahala?


Aku cuba kembali menenangkan diri, tafsir Quran dicapai lagi tanpa berfikir panjang. Aku mahu jiwaku kembali tenang. Pesawat masih turun naik dan bergegar dan hampir saja tafsir Quran terlepas dari genggaman. Aku tidak peduli, aku tidak mahu berhenti. Mustahil andai kalam Allah tidak mampu mententeramkan langit dan bumi!


Buat beberapa ketika, aku semakin tenggelam dalam bacaan, terasa dekat pada Tuhan, DIA yang telah memberikan ketenangan. Keadaan kembali reda dan sedar tidak sedar, pesawat telah mendarat di lantai bumi. Alhamdulillah, kami sudah tiba ke destinasi.


Destinasi pertama: MELAKA 


Setelah mendapatkan kereta sewa dari KLIA2, kami terus zoom pergi Melaka. Aduh, perjalanan agak mencabar bila memandu kereta terpaksa juga diteruskan di waktu malam. Setelah "berperang" dengan GPS, Google Map, dan bertanya orang sana sini. Akhirnya kami sampai juga ke hotel tempat penginapan kami. Jam menunjukkan hampir pukul 12 malam! Okay, masa untuk "pengsan"! 




Catatan 25.12.2014



Misi utama ialah pergi jumpa keluarga angkat di Melaka. Usai waktu Zohor, kami bertolak dari hotel, seperti biasa, dengan bantuan GPS yang ada ketikanya tidak membantu, selebihnya hanya berpandukan landmark dan aku ada ingat sikit-sikit jalan mahu pergi rumah mak. Nak call mak, telefon pula buat ragam, aduhai, memang menduga ketabahan! Mujurlah rakan di sebelah ini tabah orangnya hehe. Dan Alhamdulillah, setelah sesat jalan "sikit", sampai juga rumah mak. First sekali, jumpa abah di luar kedai runcit depan rumah.


Alahai memang rasa disambut oleh keluarga sendiri bila abah kata "Anak abah dah balik!" aduhai Hero Malaya! (^_^) Terima kasih sebab izinkan "anak abah" ni menumpang kasih , terubat juga rindu rasanya bila berpeluang nak sebut "abah" di bumi Melaka :)


Tak nak lengahkan masa, tak sabar nak jumpa mak juga! Mak dah tunggu di muka pintu! :D Yihi! Kita jumpa lagi! Hampir sepetang juga kami sembang di rumah mak. Yang seronoknya, mak dah siap masak, memang sedap!Perghhh sedap hingga menjilat jari! Hihi. Maaf, anak mak ni muka tak tahu malu *dushes*






Mak kata, Kak long dah tunggu lama dan terpaksa pergi uruskan hal lain pula. Ampun kak long! Nak buat macamana, kami sesat! Hahaha hadoyai takpelah lain kali kita jumpa lagi in sya Allah <3 p="">


Dan selepas Asar, kami serang kedai Double Collection milik Kak Ayu! Padan muka! Hahaha!


 Sabau je lah kak Ayu ye melayan kerenah kami yang "tolong" Kak Ayu sepahkan kedai , haha!





Kenangan indah ini adalah hadiah sepanjang hayat :)


Wajah-wajah kesayangan hamba di bumi Melaka. Kami kenal tidak lama, tapi ikatan itu terasa cukup kuat pula. Bukan pelik, tapi benar. 


Sambil membeli-belah di kedai kak Ayu, sambil tu jugalah 'lepak' dan berborak dengan abah dan mak. Sungguh, masa kami cukup singkat. Jadual musafir kami kali ini memang agak padat! Maaf dan ampun sekali lagi buat mak, abah, kak long dan kak Ayu. Ana nak luangkan banyak masa pun tak sempat. In sya Allah, panjang umur, ada jodoh, kita jumpa lagi. Biarlah doa mengeratkan ukhuwwah yang sedia ada. DAN Facebook juga! *baiklah haha* . Terima kasih dan salam sayang buat keluarga angkat Ana di Melaka. Moga Allah menjaga dan merahmati kalian semua. Aamiin <3 p="">



Catatan 26.12.2014


Destinasi seterusnya pada hari ketiga kami ialah Colmar, Bukit Tinggi, Pahang. Kami bertolak lebih kurang pukul 10 pagi.
Me and Ka Lida :D senyum dulu sebelum perjalanan yang mencabar haha!


Bila sempat videocall dengan mama di Brunei selepas pulang dari kedai kak Ayu, mama tanya Mata aku kena tumbuk ke? HAHAHa hadoyai dahsyatnya assumption mama! Anak mama ni tak sempat pun jumpa Hang Tuah, nak bertumbuk macamana? Haha!

Kak Halida susah hati juga bila "pembaca peta" ni bengkak mata! Haha! Inilah bahana membaca dalam kereta berjam-jam lamanya. Migraine dan mata bengkak sempat tagteam pula. Allahu, biarlah ujian kesihatan ketika bermusafir ini menghapuskan dosa-dosa yang menggunung tinggi. Aamiin.



Dalam perjalanan, kami sempat singgah makan. Dalam keadaan hujan yang lebat dan kedinginan, nak tahan perut sehingga sampai ke Colmar pun terpaksa dibatalkan. 




Alhamdulillah, petang tu kami sampai ke Colmar. Aduhai, bila berada di sana. Memang nak buat aktiviti lain pun nampaknya tak sempat juga! Rasanya, kami datang sana cuma tumpang tangkap gambar dan tumpang tidur sajalah jawapannya! Bertabahlah ya ~ 






Cakap banyak pun tak guna. Tengok gambar saja ya! Haha!




Pengalaman di Colmar? Agak berbeza. Bila berada di bukit tinggi, memang agak sejuk sikit. Tambahan pula waktu tu hujan renyai, tu yang sempat feeling2 photoshoot beli payung warna-warni. Hihi. Dan juga, kami tiba-tiba terasa bahawa kami seperti tidak berada di Malaysia , errr.... macam-macam jenis manusia ada. Jenis hiburan pun "macam-macam ada", dan sebagai penutup hari tersebut, kami berdua memilih untuk balik bilik hotel lebih awal dan melihat karenah manusia melalui jendela kamar sahaja. 


Catatan 27.12.2014



Setelah mendapat fikrah daripada "rakyat Terengganu" sendiri yang lebih faham dengan keadaan di sana, walaupun mak di Melaka turut susah hati dengan keadaan banjir di beberapa tempat dan lebih-lebih lagi di Terengganu. Akhirnya perancangan asal kami ke Terengganu diteruskan juga dengan bertawakal penuh pada Allah. 


Syukur Alhamdulillah, destinasi ketiga ke Terengganu terlaksana jua. Bila tiba di lapangan terbang Sultan Mahmud, Terengganu, kami berdua tersenyum sesama sendiri, sebab baru pernah berhadapan dengan "airport sunyi" hihi. Bila pergi ke tempat pengambilan bagasi, nampaknya seperti yang ada cuma bagasi kami! Maafla, memang tak boleh tahan gelak! Haha hadoi XD.


Airport sunyi, hihi


Setelah menanti beberapa ketika. "Bonda G" pun tiba menjemput kami berdua. Alamak makcik ni siap bawak bunga pula! Malunya!!! Lain kali, bentanglah karpet merah sekali! Hahaha dushes!! Anyway, walau apa pun saya berbesar hati menerimanya. Dalam malu, saya terharu! (^_^)v


Akhirnya dapat juga aku berpeluang bertemu dengan keluarga bahagia ini. Lebih-lebih lagi si kecil bertuah Ahmad Hadif Ihsan, terubat juga rindu, eh??? Hahaha!

Ahmad Haris Ikhwan
Nor Najla Insyirah
Nor Najdah Ilyana
Ahmad Haziq Imran
Ahmad Hanis Izhan
Ahmad Hadif Ihsan

*saya cuba istiqamah hafalkan nama mereka ya BondaNor, haha*




Jom makanG lekor lu! Sedak boh! XD ... Eh Ahmad Hadif Ihsan ! Tundukkan pandangan awak ye.... HAHA BondaNor sila sentap XD



Ahmad Hadif Ihsan, jadilah anak Soleh dan Mujahid seperti yang diidamkan ya sayang <3 i="">



Berlatarbelakangkan Pantai Telok Ketapang (betulkan kalau saya salah, konpiden je!) hehe


Permaisuri dan Puteri.... lah sangat! HAHA. 


Jutaan terima kasih buat BondaNor dan Encik suami puan yang sudi menjemput kami. Dalam keadaan belum sihat sepenuhnya, sanggup menjemput dan menghantar kami ke hotel pula. Allahu, hanya Allah sahaja mampu membalasnya dengan sebaik-baiknya, Aamiin ya Allah.

Pada malam itu kami tidak larat lagi mahu berjalan ke mana-mana. Alang-alang nama hotel ni Grand Puteri, masing-masing feeling2 Puteri, tak mahu jalan cari makan di luar, kami memilih untuk pesan makan malam untuk dihantar terus ke dalam bilik, hihi.


Sambil menikmati hidangan makan malam, sambil itu jugalah kami berdua cuba mengimbas kembali kembara kami. Dari Melaka, ke Colmar, dan sekarang tiba di Terengganu. Setiap tempat punya cerita dan rentak yang berbeza. Di Terengganu, suasana lebih tenang dan perlahan sebenarnya. Azan juga boleh kedengaran dari bilik hotel kami yang terletak di kawasan bandar. Sewaktu menginap di hotel Melaka dan Colmar, suasana persekitaran hotel memang aktif sehingga lewat malam. Dan bila berada di sini, boleh dikatakan sedikit sebanyak seperti sedang berada di negara sendiri. Brunei juga sunyi... hihi.



Catatan 28.12.2014



Seawal pagi kami memulakan misi ronda sekitar bandar, setakat kawasan yang berdekatan dengan hotel sahaja. Ronda bandar? macam tak betul, ronda kedai sebenarnya! *dushes*

Dan sekitar 9.30 pagi, para puteri ni dijemput lagi, aduh, again "dalam malu, kami terharu" , terima kasih sekali lagi BondaNor dan Encik suami puan kerana sudi mempelawa kami menikmati sarapan pagi. 

Bila selongkar gambar untuk dimuatnaik ke dalam blogpost ni, cari punya cari, alaaa frust arr kenapa aku lupa nak tangkap gambar Nasi Dagang dan Nasi Minyak yang special tu! Tidaaaaaaaaak!  Baaiklaah! Kini aku pasrah! 


"Sepatutnya sarapan pagi lah kena berat" , baik makcik, saya akan ingat! Memang takde chance nak diet, haha!



Sesi penyerahan hadiah dari Adyanny dan Wan "tanpa senjata api di dalamnya" :P


Alhamdulillah, selama beberapa jam yang singkat dan berpeluang untuk duduk berbual bersama novelis buku tarbiyah yang "terhangat di pasaran" ni memang adalah antara detik-detik yang sangat berharga dan bermanfaat. Ada ketikanya dan ada perkara memang tidak mampu diterjemahkan dengan kata-kata, tapi in sya Allah setiap cerita, setiap pengalaman yang dikongsi, saya telah cuba cerna sebaik mungkin dan sematkan di dalam hati sebagai bekalan di kemudian hari. Ada ibrah yang ditadah, ada hikmah yang bermadah, dan ada pengajaran yang akan dijadikan sandaran. Syukur Alhamdulillah for this ukhuwwah.






Sila frame gambar ni bikin pusaka 

XD



Sebelah petang di Terengganu. Ya Allah, terujanya bila berpeluang berkunjung ke "Masjid Terapung"! a.k.a Masjid Kristal dan berkesempatan solat Jama' di sana. AllahuAkbar, pengalaman yang sungguh manis! Ditemani pula dengan puteri-puteri (Insyirah dan Ilyana) yang cukup manis! :D





Oh ya, lepas Masjid Kristal, kami jalan-jalan ke Taman Tamadun Islam pula, budak berdua ni lah drivernya! Cara memandu boleh buat penumpang sakit jantung! XD




Tak payah travel jauh-jauh, 
di Terengganu sudah ada koleksi Masjid-Masjid termasyhur di seluruh dunia! Hihi. 




 Eh! Masjid Brunei dah "diterbangkan" ke Terengganu juga! Terbaik!







Terima kasih ya Puteri-Puteri yang baik hati kerana sudi jadi pemandu pelancong buat kami. Semoga kedua-duanya jadi anak solehah ya. Aamiin :)


                                                           
Last sekali, kami "mengunjungi" Desa Murni, XD 


Hadiah pengikat ukhuwwah



Semoga Allah sentiasa menganugerahkan BondaNor  semangat yang tidak malap dalam terus berdakwah, kesihatan yang semakin membaik dan kebahagian buat seisi keluarga yang sentiasa subur dengan benih-benih cinta! Aamiin Ya Allah <3 nbsp="" p="">

Kami berdua sangat terharu dengan layanan baik yang diberi oleh BondaNor sekeluarga. Semoga ukhuwwah yang terjalin ini akan lebih indah dan bertambah erat keranaNya. Moga Allah redha. 



Catatan 29.12.2014 - 30.12.2014


Selepas solat subuh, kami berdua bersiap sedia untuk meneruskan ke destinasi terakhir kami dengan menaiki pesawat AirAsia ke Kuala Lumpur seawal pagi lagi. Mendarat di Kuala Lumpur pada pukul 9.20 pagi. Seperti biasa, Kuala Lumpur dengan kesibukannya. Err...., KL, kota yang penuh dengan manusia dan "dramanya" tetapi catatanku sikit pula, arghh ironinya! Kita terus lompat ke catatan penutup ya! 



Catatan Penutup 31.12.2014



Setiap langkah musafir yang aku jalani selama ini, tujuan utama adalah ingin menjejak ibrah dan hikmah yang tersembunyi. Cari punya cari, gali punya gali, daki punya daki. Jejak langkahku seakan terhenti pada satu "cubitan" daripada Tuhan.

Kali ini aku cuba perlahankan hayunan. Aku cuba tajamkan renungan dengan naluri seorang hamba Allah, Ar-Rahman. Dalam berjuta hikmah yang aku dambakan, nyatanya hanya satu yang DIA mahu aku tumpukan perhatian.

KEMATIAN. KEMATIAN. KEMATIAN.



Sejujurnya, kembara yang aku jalani kali ini berbeza dari sebelumnya. Ujian datang bertali arus sehingga menimbulkan kerisauan dari keluarga terdekat dan sahabat-sahabat. Salah satunya ialah tentang fenomena banjir yang menimpa Malaysia. Kami sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai banjir teruk yang sedang melanda di beberapa buah negeri. Kami turut bersimpati atas nasib mereka. Besar sungguh ujian Allah buat mereka. Dan disebabkan ini jugalah membuatkan kegusaran hati orang terdekat. Mereka sentiasa bertanya khabar dan memastikan kami berdua dalam keadaan selamat. 



AllahuAkbar, terasa malu pula dengan jutaan rakyat Malaysia yang sedang menjalani musibah yang nyatanya jauh lebih buruk berbanding kami yang sentiasa baik-baik sahaja. Kerisauan ahli keluarga dan rakan-rakan tidak terbatas pada masalah banjir sahaja. Pada hari kami berada di Terengganu, terbang pula berita pada mereka tentang pesawat AirAsia yang "hilang" sewaktu perjalanan dari Surabaya menuju ke Singapura. Allahu, forward mesej dan pertanyaan khabar menghujani kami pagi petang siang malam! Tidak cukup dengan itu, ketika kami selamat tiba di Kuala Lumpur, ditambah lagi dengan berita bahawa kapal Airasia "tergelincir" di Filipina pula.



Semua berita yang datang adalah umpama berita tentang alamat sebuah kematian. Matikah aku kerana berada di luar negara? Matikah aku kerana menaiki pesawat yang "tinggi risikonya"? Di mana letak asbab dan tarikh kematian sebenarnya. AllahuAkbar. Sungguh, kembara kali ini banyak mengingatkan aku tentang mati dan meletakkan tawakkal yang tinggi pada Illahi!


Pada mulanya, pengalaman "kapal terbang turun naik" yang baru pernah aku alami sepanjang bergelar musafir memang mengecutkan perut. Namun bila harus menjalani takdir dengan menaiki pesawat berulang-kali, sia-sia untuk kita takut. 

Di saat begitu, kita sebenarnya tidak memerlukan sebuah ketakutan, apa yang kita perlu adalah bertawakal sepenuhnya pada Allah Ar-Rahman. Ajal ada di mana-mana. Sejauh mana kita mahu bersembunyi, malaikat maut pasti mengejar, itu pasti! Kita bukannya sengaja menjunamkan diri ke lautan bara, kita bukan juga meletakkan diri kita ke dalam situasi merbahaya. Kita sudah cuba yang terbaik. Selebihnya hanya mampu menjalani takdir dan bertawakal sahaja.


Percayalah, berbekalkan keyakinan pada takdir Allah, hati kita akan lebih tenang.

"Kesulitan yang belum tiba, jangan dibiarkan hati menderita sebelum masanya" -BondaNor- 




***

"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)" 

Surah Al-Jum'ah : Ayat 10